Thursday, June 21, 2012

Hikayat Melor : Gadis Berpurdah di Tanah Malaya.



Al kisah planet bernama Salam . Dalam planet Salam yang subur itu ada satu pulau di garisan khatulistiwa. Pulau itu diberi nama Tanah Malaya. Tanah Malaya datangnya dari nama satu bangsa melayu yang menganuti agama Islam seawal Salam diciptakan Allah.

Salam diciptakan sebagai tempat ujian kepada manusia yang pelbagai bangsa untuk mengetahui siapakah yang beriman atau tidak. Hanya satu agama sahaja yang diiktiraf Allah untuk mendapatkan syurga-Nya kelak iaitu agama islam dengan mengikuti petunjuk pesuruh-Nya bernama Ahmad dan kitab-Nya Al-Quran.

Allah memperingatkan manusia agar salam itu tidak diurus seenak tafsiran keadilan akal manusia sahaja kerana Allah sendiri telah memakna-kan keadilan sebenar dengan menurut petunjuk agama-Nya, panduan kitab-Nya dan teladan pesuruh-Nya.

Pada tahun 1946 kewujudan planet Salam , lahirnya bayi lelaki dari bangsa melayu bernama Keris Merah. Keris Merah diharapkan membesar dalam kehidupan islam , berjati diri melayu , dan dijangkakan sebagai hero utama menghalau penjajah yang tidak beriman iaitu penjajah berbangsa Inggeris .

Malangnya pengharapan itu terlalu besar. Beberapa wali ulamak Melayu bermimpi Keris merah akan bertindak sebaliknya. Malah sanggup menjadi boneka atau tali barut inggeris kerana tidak sabar memerdekakan tanah malaya. Selain itu keris merah akan menulis sejarah merdekanya tanah malaya itu seperti orang yang menang sendiri dengan menutupi jasa pihak lain yang turut bersama menentang penjajah. Lebih parah lagi keris merah mungkin tidak pedulikan nasihat ulamak melayu agar mengamalkan islam sepenuhnya dalam kehidupan serta dijangka mengutamakan perjuangan bangsa  kerabatnya sahaja.

Sebenarnya agama Islam tidak pernah menyalahkan perjuangan hak bangsa sendiri. Salahnya bila perjuangan bangsa itu dilebihkan daripada perjuangan islam sehingga menzalimi pihak tertentu (terutama rakyat bukan kerabat) dari bangsa sendiri atau bangsa lain dan melaksana suatu ketetapan hukum tidak secara adil. Itu islam namakan assobiyah dan sangat menegahnya.

Para ulama melayu dari keluarga keris merah sendiri kebimbangan jika keris merah akan membesar tidak seperti diharapkan apabila tersebarnya kisah mimpi wali tersebut. Dengan itu mereka bermunajat siang malam agar Allah lahirkan seorang lagi pahlawan dari keturunan mereka juga bagi mengimbangi , menginsafi dan jika perlu mengantikan keris merah jika perlu.

Allah yang tidak pernah lokek , sentiasa mendengar rintihan hambanya dan sebenarnya telah merancang segala-galanya memperkenankan doa tersebut lima tahun kemudian. Lahirlah dua-pupu kepada keris merah. Ianya seorang puteri . Maka berdoalah lagi ulama keturunan melayu agar puteri ini menjadi serikandi sehebat mawar berduri yang punya cita-cita luhur menegakkan syariat islam di tanah malaya. Puteri tersebut diberi nama bulan putih.

Seindah namanya, Puteri bulan putih diramalkan menjadi gadis yang cantik, membesar dengan didikan agama yang baik, bertudung labuh dan memiliki keperibadian muslimah yang hebat. Selain itu bulan putih juga akan meng-ungguli isu-isu berkaitan islam, berkarismatik pemimpin islam dan dirancang asuhannya oleh guru-guru ulama melayu pondok yang kebanyaknnya berideologi anti penjajah inggeris.

Beberapa tahun berlalu . Keris merah membesar menjadi pemuda dengan serba kemewahannya , terbukti banyak mengampu penjajah inggeris sehinggalah merdekanya tanah malaya pada tahun 1957 , mudah meniru budaya bangsa inggeris, suka berhibur, jarang bersolat di masjid , kurang menghadiri pengajian ilmu, kadang-kadang saja dilihat mendekati ulamak terutama dalam urusan rasmi dan serba serbi hidupnya longgar dari pegangan islam. Bulan putih pula membesar seperti diduga, hidup sederhana, gadis solehah yang sangat menawan dan bisa menghiurkan sesiapa sahaja.

Berkenanlah juga di hati keris merah untuk memperisterikan dua-pupunya itu walaupun dia tahu gadis itu sangat membencinya. Pelbagai usaha dilakukan keris merah untuk mendapatkan bulan putih. Cara baik pernah dan cara tidak baik pun pernah. 

Pernah keris merah berniat menculik bulan putih dan merosakkan kegadisannya supaya boleh nikah kelak. Malangnya disebalik watak kewanitaan itu, ada silat hebat yang telah dipelajari dari ulamak melayu. Maka banyak kalilah keris merah mendapat malu kerana bulan putih sentiasa mengalahkannya dan deman cuti sakit bermingu-mingu setiap kali terkena jurus pukulan balas yang menakutkan. Itulah akibatnya keris merah yang asyik ponteng kelas silat yang dibuat oleh ulamak melayu masa kecil dulu. Wajarlah selalu kalah silat dengan bulan putih disamping niat jahatnya tetap dimurkai Allah dan seluruh penduduk salam.

Rezeki itu datang.

Pada tahun 1969 berlaku hura-hara yang mengancam keamanan tanah malaya. Sekumpulan pendatang asing yang bekerja sebagai buruh di tanah malaya mengamuk dan menunjukan kebiadaban mereka kepada bangsa melayu. kebanyakan mereka dari tanah sebelah timur. Mereka agak ramai , merbahaya dan pandai berkungfu. sedangkan dalam tanah malaya itu jagoh silat tali pingang putih (junior) adalah pemuda bernama keris merah dan jagoh silat tali pinggang hitam(master) adalah bulan putih . Walaupun bulan putih hebat tetapi ancaman kungfu dari timur itu tidak mampu diselesaikan sendirian.

hasil muzakarah dan nasihatnya para ulamak , bagi menghadapi pendatang asing yang melampau dan hebat berkungfu itu, maka pernikahan di antara keris merah dan bulan putih perlu dilangsungkan. Ulamak melayu memberi nasihat kepada bulan putih agar boleh memahami acaman musuh luar yang merbahaya dengan memilih mudarat yang lebih kecil iaitu terpaksa menerima keris merah yang fasik itu demi menguatkan barisan pejuang islam.

Hasil istikarah , berjanjinya Keris merah akan berusaha memperbaiki diri dan kesedaran memilih mudaarat yang kecil, maka bersetujulah bulan putih membina sebuah rumah tangga dengan keris merah. Dinamakan rumah baru mereka BK (barisan kebangsaan) bagi melambangkan kesatuan rumah pahlawan tanah malaya menghadapi musuh luar yang lupa tanah malaya ini miliki ketuanannya.

Maka usaha jahat pendatang asing yang memporak purandakan tanah malaya berjaya dipatahkan berkat strategi pernikahan seorang pemuda fasik melayu dan seorang gadis melayu muslimah . Itulah bukti hebatnya islam apabila si muslimah sedar demi maslahah ( kebaikan , kepentingan dan keamanan) negerinya, maka dia harus siap berkorban.

Seperti kata pepatah melayu , langit disangka cerah , rupanya hujah ditengah hari. Keris merah dan bulan putih bercerai pada tahun 1978 disebabkan kononnya keris merah masih tidak bersungguh mahukan islam dan musuh pendatang asing dilihat tidak merbahaya lagi. Maka bulan putih meninggalkan rumah barisan kebangsaan yang dibina walaupun ramai pihak cuba memujuknya.

34 tahun kemudian. Pada tahun 2008 , bulan putih mengejutkan sebahagian ulama melayu apabila menjadi madu seorang pemuda kacak bermata satu yang telah mempunyai isteri pertama bernama Roket. Demi dendam kepada keris merah, bulan putih sanggup menjadi isteri kedua si liberal kontrovesi itu dengan nama baru rumah mereka BR (barisan rakyat) bagi bersaing merebut 'PutraBerjaya' yang di miliki BK sejak merdeka. Misi bulan putih bukan lagi membina negara islam seperti cita-citanya ketika muda. Katanya membina negara berkebajikan dan tiada lagi negara islam. Teori barunya adalah tidak penting nama islam, yang penting nilai islam itu ada.

"Apa guna nama negara sahaja islam tetapi keadilan dalam pemerintahan tidak wujud.? Lebih baik nama negara bukan islam dan bukan malaya, tetapi keadilan islam hidup." Itulah tafsiran keadilan oleh pemuda mata satu yang telah menjadi suami bulan putih. Bulan putih mungkin tidak suka dan tahu bahayanya ke-liberal-an pemuda bermata satu serta madu-pertamanya yang bukan islam, tetapi disebabkan sakit hati sangat dan rasa dipermainkan oleh keris merah sekian lama, maka bulan putih hilang sabar dan sanggup jadi isteri kedua walaupun ditomah ramai pihak.

Walaupun ada beberapa ulamak melayu menyokong ijtihad bulan putih dalam menumbangkan pemerintahan keris merah yang telah lebih 50 tahun , namun akhir dekat 2000 menyaksikan makin ramai dari ulamak melayu sedar akan risiko besar tindakan bulan putih ini.

Antara akibatnya ialah lahirnya persaingan menifestasi pilihanraya yang tidak bunyi islamik lagi. Jika dulu pernah slogan keris merah adalah 'islam had-hari' bersaing dengan slogan bulan putih 'hadarah islam'. Tetapi kini masing-masing bersaing sesiapa yang lebih kurang islamis atau liberal demi menawan hati pengundi bangsa bukan islam. Adalah menyedihkan apabila kuasa penentu undi terletak pada tangan bukan islam yang minority. Sungguh memalukan islam apabila nasib tanah malaya tidak lagi ditentukan oleh orang islam kerana terus berpecah atau berpolitik keanak-anakan. Tidak hairanlah ada seorang pemuda berilmu bernama Salahpi sanggup menjadi penasihat rasmi keris merah pada tahun 2010 walaupun dikritik hebat oleh ramai ulamak melayu lainnya.

Selain itu ada juga beberapa kritikan dari seorang gadis melayu berpurdah. Kritikannya ditujukan kepada semua pihak tanpa memilih bulu.  Kepada ibunda bulan putih seruannya agar membina jati diri bangsa melayu , kembali ke meja kesepakatan pejuang islam dan jangan mudah percayakan lelaki mata satu yang dilihat lebih bahaya agenda liberal-plural-nya.

Kata gadis berpurdah  ; " Anakda akui kezaliman keris merah sepanjang 60 tahun ini, anaknda juga tidak pernah merestuinya. Tapi ibundaku, dari ilmu islam yang anaknda pelajari, ada beberapa mudarat atau harga sangat besar harus dibayar jika barisan rakyat menang pilihanraya ke 13 nanti. Masalahnya bukan sahaja ada pada ayahnda mata satu yang liberal itu, tetapi lebih bahaya pada queen control atau agenda licik isteri pertama ayahnda mata satu , madu ibunda sendiri iaitu roket yang berbicara keberibadian muslimah sejati kononya dalam keadaannya sendiri tidak bertudung."

Kata si gadis lagi : "anaknda tidak minta ibunda bersama ayahnda keris merah lagi, walaupun itu yang paling diharapkan demi menghadapi gelombang pluralisme sekarang. Yang sangat diharapkan atau Paling kurangpun , tolonglah duduk bermuzakarah isu bangsa melayu dan islam yang boleh disepakati demi mempertahankan hak islam dan melayu di bumi kita ini. Ancaman luar juga harus tidak dilupakan dalam kerakusan kita membaiki ancaman dalaman."

Tambah si gadis: "terbaiknya jika ibunda tidak bersama ayahnda mata satu dan berdiri sendiri dengan slogan negara kebajikan atau negara islam. Kalau itu berlaku , sudah pasti semua ilmuan melayu islam , muda atau tua, aktivis atau profesional islam (kecuali pemuda bernama Salahpi) akan kematian hujah dan wajib bersama ibunda walaupun jalan yang bakal kita tempuh mungkin sangat sukar dan lambat mencapai destinasinya. Yakinlah janji Allah ibu, jika kita mampu membentuk bersungguh-sunggh sepersepuluh (10%) dari tanah melayu ini orang yang sabar , pertolongan allah pasti tiba. Kita tidak perlukan mata satu yang liberal dan roket yang sangat licik itu dalam berjuang di tanah malaya agar diredoi Allah. Kemudian si gadis berpurdah membacakan kalam Allah dari surah Al-Anfal ayat ke 65 : Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang ; dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka orang-orang yang tidak mengerti."

" ibunda, anaknda kuatir, jika ibunda masih menjadi isteri mata satu dengan alasan tahaluf siyasi dalam keadaan sekarang (belum mantap dan pintu fitnah masih luas), suara ilmuan islam sendiri akan terpecah. bayangkan jika suara ilmuan sendiri (termasuk anaknda) terpecah , maka makin rumitlah pecahan di kalangan masyarat umum islam dalam memahami politik kita ini. Akan untungnya adalah pihak bukan islam dan kerugian besar di pihak kita. Ini belum lagi dikira kritikan ilmuan islam berkaitan ibunda telah melantik mamat bernama Syiah sebagai orang kanan. Kata gadis berpurdah sedikit tegas bagi menyedarkan lagi.

Melor , itulah nama gadis berpurdah yang lahir pada tahun 1996 . Sangat cintakan islam seperti kecintaan ibunda bulan putih suatu ketika dulu. Sangat menghormatinya ibunda bulan putih yang telah banyak berjasa berjuang di tanah malaya. Tetapi melihat dendam ibunda kepada keris merah yang semakin emosi tanpa perkiraan cukup menghadapi ancaman luar dan gelombang pluralisme, maka Melor terpaksa bersuara dengan ilmu didada walaupun pahit untuk ditelan ibunda bulan putih dan pengikutnya.

Baru beberapa kali Melor tegur agak kasar dengan istilah keliru atau celaru identity perjuangan ibunda bulan putih pada permulaan tahun 2010 . Jawapan balas kepada Melor bukan sahaja dikatakan keliru dan celaru kembali, malah turut dituduh oleh beberapa pengikut bulan putih sebagai pemfitnah dan berbohong secara sengaja. Itulah cabaran besar kepada Melor yang tetap bersabar menunjukkan akhlaqnya, bicara apa yang perlu dan berusaha tenang walaupun ditomah balas dengan kata- kata melampau serta bertubi-tubi dari saudara sendiri.

Melor hanyalah gadis kerdil yang cuba memberikan nasihat dengan ilmu islam yang dipelajari dari ulama arab di tanah timur tengah . Bukanlah Melor semberono melontarkan pandangnya kerana mahukan habuan dunia. Semuanya kerana masa depan islam dan melayu. 

Malah lontaran kritikan Melor atas dasar ilmu. Malangnya Melor banyak di salah-anggap oleh sebahagian penduduk tanah malaya terutama dari pengikut rumah BR yang nampak keadilan hanya mampu ditegakkan bila menumbangkan keris merah.

Melor bukan tidak mahu melihat korupsi keris merah berakhir, tetapi Melor memikirkan bagaimana nasib islam di tanah malaya kelak jika diperintah oleh pemuda mata satu, dan isteri pertamanya roket . Adapun ibunda bulan putih hanyalah bergelar isteri kedua yang terpaksa taat kepada suami dan berhadapan dengan madu-tua yang sangat licik itu.

Melor merintih dalam setiap solat tahujudnya ; " Apa yang dibuat-ku hanya satu muhasabah , agar mereka tidak lupa objektif salam yang perlu diperintah dengan agama Allah , petunjuk Ahmad dan kitab Al-Quran . Ya Allah aku perlukan pertolongan-Mu , bantulah hamba-Mu yang kerdil ini dengan kesabaran nabi-Mu, sentiasa dalam landasan kitab-Mu dan setiap saat dalam lindungan-Mu ! Amin ya rabal alamin."

Taman bahagian 1.

PS: Cerita ini rekaan semata mata, Terinspirasi dari kisah ust al-bakistani -1- dan sumber khazanah kata-kata melor serta fakta angka adalah rahsia. Apa yang baik dari hikayat ini boleh diambil iktibar. Segala cacat dan cela dari hikayat ini angaplah kekhilafan penulis dalam melakar cerita. Semoga Allah merahmati kita semua. Wallah walam.

-1- http://g-82.blogspot.com/2012/05/mufti-balaci-pencuri-selipar.html







No comments:

Post a Comment