Saturday, July 31, 2010

Menamatkan Pendidikan Kiasu

koleksi article pilihan.

Seawal 2006, saya sudah menangkap hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk merombak sistem pendidikan negara yang terlalu berorientasikan peperiksaan.

Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku Menteri Pelajaran ketika itu pernah membuat kenyataan betapa sistem pendidikan semasa yang berorientasikan peperiksaan menjadi satu bebanan ke atas guru dan murid. Justeru satu bentuk pendekatan baru di dalam sistem pendidikan mahu diperkenalkan.

Saya mengalu-alu saranan ini.


‘KIASUISM’

Obsesi semua pihak terhadap ukuran kecemerlangan murid berdasarkan pencapaian bilangan A di dalam peperiksaan semakin menjadi-jadi.

Jika dahulunya budaya kiasu sering membawa kita kepada membayangkan negara jiran, Singapura, kini sikap all-must-win itu sudah semakin membarah di Malaysia hingga ia tidak lagi ditonjolkan pada kegilaan menghimpun tertinggi, terpanjang, terbesar dan terhebat di mercu tanda negara, malah turut mengisi seluruh spektrum kehidupan. ‘Segala-galanya bersifat enjit enjit semut siapa sakit naik atas’!

Seawal usia pra sekolah, murid-murid sudah diheret ke budaya ‘saya masuk kelas A sebab ada yang masuk kelas B’.

Murid yang beroleh keseluruhan A akan disanjung oleh semua peringkat masyarakat dan media. Pelbagai anugerah diberikan dan jumlah mereka menyumbang kepada statistik kebanggaan sekolah, kemudian daerah dan akhirnya negeri ke peringkat kebangsaan. Sedangkan segala liputan terhadap kelompok ‘cemerlang ini’ hakikatnya adalah laporan berkenaan kelompok minoriti kecil berbanding kelompok majoriti dengan pencapaian sederhana yang terus dipinggirkan.

Sekurang-kurangnya dua tragedi besar sudah terpampang di hadapan mata kita kesan daripada obsesi terhadap peperiksaan ini.

TEKANAN PSIKOLOGI MELAMPAU



S. Subashini: kenangan terhadap ‘kegilaan’ sistem pendidikan negara

Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.

Sejauh mana isu ini diperbahaskan? Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR? Saya yakin jika insiden ini berlaku di negara maju lain, ia sudah cukup untuk menggoncang seluruh sistem negara.

Tekanan psikologi yang dikenakan ke atas murid-murid sebagai ‘kuda pertaruhan’ amat membimbangkan. Apatah lagi, tidak semua pelajar boleh cemerlang dalam orientasi hafalan dan muntahan fakta ke kertas peperiksaan. Ramai juga yang datang daripada kategori hands-on. Mereka mahir di dalam pelbagai bidang kemahiran membabitkan seni, teknikal, vokasional dan lain-lain, namun dipandang rendah kerana tidak berjaya diukur dan pembaris tunggal yang mengukur kualiti manusia di dalam sistem pendidikan kita.

GENERASI ROBOTIK

Kesan kedua yang timbul adalah pada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan.

Kesan ini sukar dinilai semasa murid-murid berada di bangku pengajian kerana mereka masih berada di dalam sistem itu dan menjadi sebahagian daripadanya.

Tetapi, selepas menjadi graduan kepada sistem itu, bagaimanakah kualiti mahasiswa dan mahasiswi kita di peringkat pengajian universiti hari ini? Bagaimanakah pengalaman para pensyarah semasa mengendalikan murid-murid ‘cemerlang dengan A’ ini? Malah bagaimanakah statistik pelajar universiti yang terpaksa mengulang tahun atau kecundang di dalam pengajian, biar pun mereka itu adalah cream of the cream semasa di peringkat SPM?

Tidak dilupakan, keluhan demi keluhan pihak Sumber Manusia (HR) di dalam industri.

Bagaimanakah kualiti kemanusiaan warga kerja generasi muda kebelakangan ini?

Mereka mungkin mampu memiliki ijazah dengan CGPA 4.0 tetapi tidak terfikir bahawa untuk menghulurkan pisau kepada orang lain, yang patut diajukan adalah hulu pisau dan bukan matanya.

Common sense?

Logical thinking?

Segalanya semakin membarah.

Sistem pendidikan dan peperiksaan berkomputer kita benar-benar menghasilkan computerised-being. Generasi robot!

MAJLIS PERBINCANGAN MEJA BULAT PEMANSUHAN UPSR & PMR

Justeru saya amat mengalu-alukan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menilai kembali peranan UPSR dan PMR dalam sistem penaksiran pelajar di negara kita.

Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR telah berlangsung di Putra Jaya pada 27 Julai 2010 yang lalu telah menghimpunkan ramai tokoh pendidikan, ahli politik, ahli akademik IPTA dan IPTS serta NGO. Laporan awal menyatakan majoriti mereka yang hadir ke Majlis Perbincangan Meja Bulat itu mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi dengan penambah baikan.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan, tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, selepas mempengerusikan Majlis Perbincangan Meja Bulat Kementerian Pelajaran.

Saya juga bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Setiausaha Kehormat, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia, Poh Chin Chuan yang mahu Kementerian Pelajaran mengumumkan formula alternatif jika mahu memansuhkan UPSR. Sebarang perubahan mestilah berasaskan kepada kajian yang menyeluruh dan tidak bersifat adhocism. Perubahan mesti bersifat holistik dan bukan gunting sana dan tampal sini.

Mangsanya adalah anak-anak kita dan masa depan negara.

Biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan nanti, saya mengharapkan agar sistem pendidikan negara kita kembali bersifat STUDENT CENTRIC dan bukannya SCHOOL CENTRIC apatah lagi PPD CENTRIC!

Bakul sampahkanlah segala yang berkaitan dengan reputasi dan kemasyhuran sekolah, rekod perkhidmatan cemerlang pegawai pendidikan atau apa sahaja yang menyebabkan murid-murid itu sendiri bukan lagi satu keutamaan.

Apakah boleh dikategorikan sebagai salah laku yang serius apabila murid yang kurang cemerlang diarahkan oleh pihak sekolah mendaftar sebagai pelajar persendirian demi menjaga peratusan kecemerlangan keputusan peperiksaan? Kepada siapa salah laku ini patut diadukan?

Menyembah peperiksaan…. demikianlah perumpamaannya.



Atau mungkin kata kuncinya, hentikan campur tangan politik dan ‘pasaran semasa’ terhadap pendidikan negara.

Sekolah bukan gelanggang lumba kuda.

Ia tempat memanusiakan manusia.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

p/s: Secara tiba-tiba dua minggu sebelum berlangsungnya Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR, saya dihubungi oleh wakil Kementerian Pelajaran Malaysia memaklumkan bahawa saya dijemput untuk menyertai sesi perbincangan itu. Tidak pasti jemputan dibuat atas kapasiti apa, saya mengalu-alukan peluang itu dan mengambil tindakan pantas membatalkan program di UNIKL-MIMET Lumut demi amanah yang besar ini. Sehingga sehari sebelum program, saya tidak menerima sebarang berita daripada pihak penganjur. Saya mengambil inisiatif menghubungi PIC pada 26 Julai 2010 dan amat mengejutkan, beliau memberitahu bahawa senarai peserta Majlis Perbincangan Meja Bulat Pemansuhan UPSR dan PMR itu telah disenarai pendek oleh pihak atasan dan persidangan itu juga ditunda!

Segalanya tanpa sebarang notis.

Saya kehilangan peluang menyertai persidangan itu, juga kehilangan satu program yang penting untuk klien dan syarikat kami, dan ironinya persidangan itu tidak ditunda seperti yang dimaklumkan.

Tindakan tidak profesional ini semakin mendesak saya untuk terus berusaha melobi rombakan sistem pendidikan negara kita!