Thursday, April 7, 2011

selangkah memahami perjuangan (pendahuluan)

Mari Duduk Sebentar dan beriman

Para da'i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan,
niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia
berada dalam amal salih dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut
yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia.
Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan
berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.

Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah
ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku. Oleh kerana itulah,
orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk
menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu
sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak
kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa
ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau
kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah
dan petunjuk.

Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang
telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman.
Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

إجلس بنا نؤمن ساع ة
(Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad
Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya:(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolakbalik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).

Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini
(siri-siri buku ini) adalah tentang fiqh ad da'wah. Kita menyeru para da'i untuk
duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu
dan kesungguhannya.

Sisa.... Dan Harapan

Siri-siri buku ini ditulis untuk para du'at; mereka yang menunaikan solat dan
merasa bangga megah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak
mukminin. Tidak ditujukan kepada yang lalai, lebih-lebih lagi yang
menyeleweng.

Ini adalah kerana untuk menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini,
tidak perlu kepada berpindahnya bilangan yang besar dari mereka yang lalai
dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang
diperlukan ialah menyedarkan mereka yang sudah pun berpegang dengan

Islam, membangkitkan kesungguhan mereka dan memperkenalkan kepada
mereka jalan amal dan fiqh da'wah. Masih ramai dari kalangan orang-orang
mukmin, bilangan mereka sudah mencukupi untuk menegakkan kebaikan
yang kita cita-citakan, tetapi dengan syarat apabila mereka mengenali tajarrud
(menyerahkan diri hanya untuk Islam), zuhud terhadap dunia, menjauhkan diri
dari fitnah, sabar atas segala mihnah dan memahami seni memimpin ummat.
Oleh sebab itu, siri-siri buku ini tidak akan berbicara dengan orang yang masih
mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya. Tetapi ia hanya memadai untuk
mengajak muslim, yang benar imannya, suci aqidahnya, merasa perit dan sedih
dengan realiti ummat muslimin hari ini. Buku ini akan mengajar kepadanya
jalan beramal yang berfaedah dan jalan penyelamat, memandunya kepada
kewajipan untuk mempertingkatkan tarbiyyah dirinya dalam memenuhi
tuntutan perjalanan. Buku ini juga ditujukan kepada para du'at yang sudah
mengetahui jalan amal, akan tetapi, mereka masih memerlukan pengukuhan
(bantuan), peningkatan usaha dan proses melembutkan hati.

Oleh yang demikian, kami telah mengambil segala pengertian kebaikan
sebagaimana yang diisyaratkan oleh Yahya bin Mu'aaz seorang zuhud ketika
beliau berkata:

أحسن شئ كلام رقيق يستخرج من بحر عميق على لسان رجل رفيق

(Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang
dalam, daripada lidah seorang yang lemah-lembut).1

Kamu akan mengetahui betapa kelembutan yang dikendong oleh hati-hati rijal
tersebut yang telah menghadiahkan kepada kamu buah hasil pengalaman dan
natijah pengamatan mereka. Oleh sebab itu, sebutan (nama) mereka berkekalan
dan mendapat perhatian manusia kerana ia mempunyai hubungan dengan al
haq (kebenaran).

Sesuatu perkataan tidak akan kekal di sisi generasi kecuali jika ia berhubung
dengan kebenaran dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat pertolongan
daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan
sentiasa diilhamkan kepada hamba-hambaNya.

Berapa banyak kilatan yang dipancarkan oleh raja yang zalim atau berhala yang
masyhur mengeluarkan gema seketika, memancarkan cahaya sebentar,
kemudian padam dan senyap, seperti bintang yang bertukar menjadi habuk
dan debu selepas terbakar. Ditambah lagi bahawa gemanya adalah daripada
suara kebatilan, bukan kebenaran dan kilatannya daripada hiasan kebatilan
bukannya kebenaran.

Hanya aqal yang faham, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan
kebenaran apa yang dibawanya sahaja boleh mengucapkan kebenaran yang
kekal. Dia mengeluarkan kata-katanya yang menjadi contoh-contoh yang realiti
dan keterangan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu
waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga


kejadian tertentu, akan tetapi ia mencakupi semua generasi dan setiap ketika,
negara dan kawasan.

Kamu akan dapati kehebatan kata-kata berdasarkan kehebatan orang yang
berkata, sebagaimana katanya, bahawa ia mahu menjadikan kata-katanya itu
sebagai jalan kehidupan manusia dan cahaya yang menerangi kegelapan
kehidupan).2

Syair Menjadikan Perkataan Menarik

Aku mendapati sesetengah buku tarbiyyah harakah Islamiah memisahkan
antara prosa dan puisi tanpa alasan yang kukuh. Menjadikan para murabbi
(pendidik) tidak dapat menggunakan beratus-ratus rangkap dan petikan puisi
yang boleh melembutkan hati atau membangkitkan semangat atau puisi yang
berkaitan dengan aqidah dan fikrah yang merupakan hasil karya para pemuisi
yang thiqah sama ada yang lama atau moden juga para pemuisi dakwah.
Seseorang berkemungkinan ketika mendengar suatu pengertian, tetapi
sedikitpun tidak menyentuh perasaannya, tetapi apabila digubah dalam bentuk
rentak puisi tertentu akan menggembirakan orang yang gundah gelana,
menggerakkan orang yang lalai dan mendekatkan cita-cita yang dulunya terasa
jauh.3

Sebahagian daripada syair mempunyai hikmah sebagaimana yang disabdakan
oleh Rasullah (saw).

(Rentak dalam percakapan seumpama melagukan suara: maksud daripadanya ialah
untuk mewujudkan kegembiraan hati dan jiwa yang menyebabkan kegembiraan
fikiran).4

Oleh yang demikian kami lebih cenderung untuk menggunakan puisi dalam
siri buku ini, bertujuan untuk menambah gambaran yang baik oleh seseorang
da'i terhadap pengertian-pengertian tertentu, supaya mendalam di dalam
jiwanya dan memerhati serta mengingatinya sentiasa.

Bukti yang paling jelas tentang kepentingan syair dalam menyebarkan aqidah
dan mempertahankannya, ialah peranan yang telah dimainkannya ketika
membantu ahli-ahli bid'ah untuk menyebarkan bid'ah di kalangan masyarakat
awam. Usaha-usaha ini dilakukan untuk menentang usaha-usaha Ibnu
Taimiyyah serta pengikut-pengikutnya ketika mereka berusaha membatalkan
segala bid'ah dengan hujjah-hujjah sunnah yang mulia.

(Tidak dapat dinafikan bahawa hujjah lojika yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah
telah memberikan kesannya, tetapi kekeringan lojika tidak dapat mengatasi
kebasahan dan keindahan syair (puisi) sebagaimana yang dikatakan oleh
penyair Islam Muhammad Iqbaal.5

Memang itulah yang berlaku. Pembawa-pembawa kesesatan yang telah
menyebarkan bid'ah mereka dengan penerangan yang menarik dan keindahan
syair (sastera), telah menarik hati manusia awam tanpa disedari dan inilah juga
yang menyebabkan segala kata-kata Ibnu Taimiyyah tidak mendapat tempat.
Tambahan pula tidak ada daripada kalangan penyair yang memihak kepada
Ibnu Taimiyyah untuk membantunya.

Puisi mempunyai kuasa untuk membantu sesiapa sahaja yang
menggunakannya samada untuk tujuan kebaikan atau kejahatan, untuk
menolong kebenaran atau kebatilan. Dalam setiap perkara yang berkait dengan
fikiran atau pun hakikat kehidupan, kerana jiwa manusia menyukai keindahan,
dan syair adalah keindahan seluruhnya, boleh baginya untuk menambah
kejelasan kepada hak dan kebenaran dan boleh juga untuk menutup
kekurangan dan penyelewengan yang ada pada kebatilan sehingga
menjadikannya cantik dan indah. Tiada seorang pun yang dapat melepaskan
diri dari tawanan dan pengaruh syair melainkan hati yang dimakmurkan
dengan iman secukupnya.

Fenomena ini mendorong aku untuk memasukkan puisi-puisi dalam siri bukubuku
ini.

Generasi Silam Dan Pengikut

Al Imam Ahmad menjadi ikutan kita dalam menggunakan syair yang
melembutkan hati. Dia menghafal sebahagian syair yang kemudiannya ditulis
oleh Tha'lab; seorang sasterawan yang masyhur. Murid-muridnya pernah
mendengar dia bersyair dan pada hari mehnahnya para penyair telah
memujinya. Bahkan dikatakan beliau telah mengucapkan beberapa keratan
syair kerana tidak berpuas hati terhadap 'Ali bin al Madiiniy yang tidak sabar
bersamanya ketika menghadapi penyiksaan.6

Pernah pula salah seorang muridnya telah berkata: (Wahai Abu 'Abdullah:
Apakah pendapat kamu terhadap syair yang mengandungi sebutan syurga dan
neraka? Beliau berkata: Seumpama apakah syair itu?
Muridnya menjawab: Mereka berkata: (membacakan syair)
Maksudnya:
إذا ما قال لى ربى أما استحييت تعصينى
وتخفى الذنب من خلقى وبالعصيان .. تأتينى
Ketika berkata tuhan kepadaku Tidakkah malu maksiat terhadapku,
Menyembunyikan dosa dari makhlukku Dengan penuh noda
mengadapku?

Lalu beliau berkata: Ulangi sekali lagi.

Berkata muridnya: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu ia (Imam Ahmad) bangun
dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara
tangisannya dari dalam dan beliau mengulangi syair tadi.7
Dengan penjelasan tentang faedah dan keharusan menggunakan syair ini, aku
memetik banyak puisi daripada antoloji penyair terdahulu, kemudian daripada
antoloji Waliid al A'zami, Mahmud Aali Ja'far, al Amiiriy, Abdul Wahhaab
Azzaam dan lainnya.


Aku juga menambah lagi daripada syair Iqbaal, salah seorang penyair Islam
yang agung sebagaimana yang terdapat di dalam antolojinya yang bertajuk
(Risalatul Masyriq), (Al Asraar war Rumuuz) dan (Dharbul Kaliim). Inilah kali
pertama syairnya memasuki buku peringatan berbahasa Arab selepas
diterjemahkan oleh Abdul Wahhaab Azzaam.

Iqbaal adalah seorang penyair yang benar aqidahnya, mendalam
pemerhatiannya dan sejahtera pemikirannya. Beliau telah dithiqahkan oleh
Abul Hasan 'Ali an Nadawi yang telah membuat satu kajian mengenainya yang
dinamakannya sebagai: (Rawaa'i Iqbaal). Beliau juga telah dithiqahkan oleh al
Mauduudi di dalam satu makalah penting yang disiarkan oleh al Majallatul
Ba'thil Islaamiyyil Hindiyyah. Di dalamnya beliau menerangkan kelebihan
Iqbaal dalam memberi arahan kepada generasi yang telah ditawan oleh
tamaddun Barat dan menjauhkan mereka daripada kesempitan perkauman
juga ketika beliau menegaskan bentuk yang sebenar bagi Daulah Islamiah,
sehinggakan al Mauduudi telah menyifatkan bahawa apa yang dilakukan
olehnya adalah suatu yang besar dalam lapangan islah (pemulihan) yang
mempunyai nilai yang tinggi dan tidak boleh dilupakan oleh sejarah. Beliau
juga mampu menyelamatkan generasi muslim yang telah diselaputi dengan
berbagai fitnah dan teori yang berbagai.

Lebih dari itu, Iqbaal telah melakukan satu perkara yang amat penting di akhir
hayatnya mengikut neraca Islam, iaitu penglibatan beliau dalam membongkar
kebatilan al Qaadiaaniyyah dan al Ahmadiyyah serta memberi amaran
daripada mendekatinya. Anda akan mendapatinya amat mengingkari terhadap
kesesatan wihdatul wujud, bersalahan dengan apa yang difahami oleh setengah
golongan tentang sikapnya.

Bersama Fitrah Keindahan

Majaaz8, jinaas9 dan tasybiih10 adalah seperti syair. Seseorang yang mempunyai
ransangan sastera mendapati bahawa ucapan yang bersemangat akan lebih
berkesan jika dihiasi dengan ilmu-ilmu balaaghah (ilmu bahasa dan sastera
Arab) seperti yang disebutkan di atas. Oleh kerana itu aku memetik
sebahagiannya dengan menjauhi daripada yang sukar.

(Majaaz, isti'aarah11, kinayah12 dan seumpamanya dari uslub balaaghah, tidak
dapat dielak oleh jiwa yang seni, kerana ia sentiasa mahupun sesuatu yang
agung, indah dan halus. Mungkin orang yang tidak berjiwa seni menganggap
bahawa ini merupakan suatu keberatan dan meletakkan sesuatu bukan pada
tempatnya. Hasilnya segala yang dilakukan untuk tujuan itu adalah satu kerja
kosong dan tidak berfaedah. Tetapi sifat kesenian yang ada pada jiwa penyair
berpendapat bahawa ia menambahkan lagi pengertian yang memberikan kesan
yang lebih terhadap jiwa dan perasaan. Oleh itu penambahan dalam bentuk

1 Taarikhul Baghdaad: 14/209
2 As Syawaarid li 'Azzaam: 340
3 Khariidatul Qasr/Bahagian Iraq: 1/202
4 Wahyul qalam - ar Raafi'i: 3/285
5 Kitaan Muhammad Iqbaal - Abdul Wahhaab Azaam: 52
6 Manaaqib Ahmad - Ibnul Jauzi: 205
7 Talbiisu Ibliis - Ibnul Jauzi: 218
8 Majaaz ialah lafaz yang digunakan bukan untuk maknanya yang sebenar kerana terdapat qariinah(penunjuk) yang menegah daripada maknanya yang sebenar.
9 Jinaas ialah persamaan dua perkataan dari segi lafaz tetapi berlainan dari segi makna.
10 Tasybiih ialah keterangan yang menunjukkan bahawa dua perkara atau lebih, mempunyai kesamaan,sama ada dalam satu sifat sahaja atau pun lebih.
11 Isti'aarah ialah tasybiih (perbandingan) yang dibuang salah satu rukunnya (sama ada musyabbah atau pun musyabbahu bihi).
12 Kinaayah ialah lafaz yang disebut tetapi yang dikehendaki daripadanya makna yang berkaitan dengannya, dan dalam waktu yang sama harus juga yang dikehendaki ialah maknanya yang asal.

rujukan buku:Muntalaq,Abu Ammar