Monday, July 30, 2012

Wahai Penguatkuasa, Jangan Zalim.

Catatan addinlove. 18 julai 2012

Alhamdulilah selesai juga bayar setelah kali ke empat. 

Kali pertama cuba bayar di JPJ Kulim tetapi katanya belum masuk dalam sistem. Kali kedua ke JPJ Kulim lagi , tidak masuk dalam sistem lagi tapi dapat renew lesen. Katanya lambat masuk sistem sebab saman berlaku bukan dalam kawasannya.

Kalau mahu cepat pergi ke JPJ kawasan kena saman.

Esoknya terus ke JPJ Seberang Jaya yang menjadi tempat daftar saman kerana kena saman di Exit Tol Sg Dua. Sekali lagi , belum masuk sistem juga , "plus" beralasan server bermasalah setelah penat menunggu kurang lebih sejam . Kali ke 4 ke bagunan JPJ ini, baru selesai.

Kalau bab menyaman ! Cepat, tanpa kasihan, tidak diterima sebarang alasan, tiada kompromi , dan bukan main lagi warning "limited" harinya. Kalau bayar 1-14 hari sekian jumlah , 15-30 hari sekian dan 31-60 hari sekian .

Gertak kita suruh bayar cepat, tapi menyusahkan kita pula bila mahu bayar. Sebab itu tidak hairanlah mungkin benar ada kes cuba bayar on-spot kepada sesetengah pegawai sebab leceh atau tidak sanggup ke JPJ, balai polis atau mahkamah.

Aku kena saman Jumaat malam lepas. Rasanya malam itu ada OPS saman besar-besaran di exit Tol Sungai Dua sebab selesai saja keluar tol itu, aku congak rawak hampir cecah ratus juga pegawai JPJ yang menyesakkan jalan.

Gambar atas : belakang resit saman.

Berikut antara kisah dan perbualan di lorong motosikal waktu aku disaman:
"kakak , berapa kena saman ni?" tanyaku kepada pegawai wanita yang bertugas.
"kalau dalam 2 minggu RM 40 sahaja, kalau lewat lagi bayaran akan naik dan paling tinggi RM 120. saya ada catat di sini. Tempat boleh bayar hanya JPJ saja." jawab kakak tersebut sambil terus menulis saman untukku.
"..... itu kalau lesen mati kan... kalau roadtax mati macam mana?"
".....boleh kena RM 300 dan kena pergi mahkamah.....kalau insurance juga mati tambah lagi RM 300" jawabnya ringkas
"wah ! banyaknya dan kena ke mahkamah lagi..." jawabku sedikit terkejut.
"Ya la , sebab roadtax dan insurance lagi penting" jawabnya semula.
"Ha tu....tu....tu .... ada kat belakang pokok" bersuara seorang lagi pegawai wanita yang jaraknya 2 meter dariku dan sedang memberi lampu touchlightnya ke arah pokok yang jaraknya kurang lebih 15 meter dari kami.
Aku melihat ke arah pokok itu. Sekali tengok mungkin tidak perasan dalam gelap malam lepas isyak ini, tapi melihat dengan lampu yang disuluh kepadannya, Ya , macam ada motosikal yang sedang main sorok-sorok.

Seorang pegawai lelakipun segera berjalan ke arah pokok itu.
Rasanya 3 minit selepas itu, (kakak yang tulis samanku entah apa ditulisnya, agak lama juga.)
"mati roadtax.... " suara pegawai lelaki itu.
"kesian brother tu dan tak patut betul pegawai JPJ ni. Berdosa mereka kerana telah menzalimi brother tersebut dengan saman 300 atau mungkin 600 dan susah payah ke mahkamah lagi." monolog jiwaku.

Islam tidak mengajar kita kuatkuasa undang undang sampai tahap begitu kerana ada unsur kezaliman. 

Nampak sangat JPJ macam suka cari rezeki atas kelemahan, kelupaan dan sengsaraan orang lain. Cubalah cari duit sihat sikit macam buat plat nombor pelik-pelik dan jual, baru betul mencekik darah orang yang "banyak" duit.

Mengapa zalim dan dosa sedang pegawai itu hanya menjalankan tugas?.

Dosanya dan zalimnya kerana mengintip atau mendedahkan kesalahan yang ditutupi oleh Allah swt di luar kawasan kerjanya.

Aku bersetuju untuk disaman jika telah sampai ke depan road block JPJ ini (kawasan yang ada kon). Macam aku kena, memang wajar disaman dan tidak akan didengari apapun alasan.(aku tak bagi banyak alasan aku kata lupa saja).

Tapi jika tidak sampai di road block JPJ (bukan kawasan kerja yang ada kon) maka tidak wajar dikenakan tindakan .

Pegawai yang memaksa masuk kawasan ada kon atau bertindak diluar kawasan kerjanya bagiku telah melakukan tajasus.

Apa kesalahan brother tersebut jika mahu rehat belakang pokok itu dan tengok dari jauh sehinggalah habis operasi.? Tidakkah kerugian masa dia mengunggu adalah pengajaran buatnya? dan memang tujuan penguatkuasaan dalam islam adalah memberi pengajaran bukan menzalimi.

Lagipun brother tu nampak jenis baik dan bukan buat perangai U-turn lawan arus di lorong motosikal ini dan tidak larikan diri macam kes-kes yang lain. Hanya tengok dari jauh saja, kena juga. kesian dia. kalau  JPJ berterusan buat perangai macam ini , makin kuatlah alasan ramai orang suka buat aksi yang merbahaya untuk lepaskan diri (cth buat U-turn dan lawan arus motosikal yang sempit ini).

Tidakah JPJ itu tahu dia tidak renew sebab mungkin bukan sengaja, mungkin dia lupa,sebab kurang duit mahu utamakan beli susu anaknya, sebab moto itu bukan moto dia dan dia tidak mahu susahkan tuannya dan lain-lain sebab munasabah kealpaan manusia ini.

Terpentingnya Allah telah cuba menutupi kesalahanya atau mengampuni pemuda itu dengan menyorok di belakang pokok atau tidak sampai ke kawasan saman. Jahatnya pegawai JPJ itu pula yang tajasus (memaksa atau membongkarnya).

Dalam islam perangai pegawai bertugas itu dinamakan tajasus.

Dalam kuatkuasa undang-undang, kes tajasus ini kebanyakan berlaku dalam ops tangkap khalwat yang turut mendapat khilaf ilmuan tempatan kita.

Ayat al-quran, hadis dan kisah sahabat ada menceritakan hal ini. Mungkin tangkap khalwat berbeza dengan tangkap pesalah jalan raya. Tapi aku yakin dosa yang Allah maksudkan dalam kalam-Nya dalam surah Al-Hujurat (Al-Quran) itu tetap ada.

Dalil Larangan tajasus (mencari kesalahan):

1. Larangan tajasus dari Al-Quran.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani”. (Surah al-Hujurat ayat: 12).
2. Larangan tajasus (mengintip) dari hadis.
Dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abdullah bin Mas’ud:
“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih)

3. Dalil popular larangan tajasus dari kisah sahabat dan pandangan ulama.
Imam Al Syaukani membaca Surah al-Hujurat ayat 12, Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H) :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Itulah dalil pengetahuanku berkaitan kuatkuasa undang-undang dalam islam yang tidak boleh dibuat semberono seperti mengintip-intip di kediaman peribadi atau hotel tertentu hanya dengan hujah sangkaan atau tidak zahir. Kecualilah tempat tersebut benar-benar ada bukti jelas maksiatnya.

Bagiku begitu jugalah perihal kuatkuasa undang-undang di jalan raya.

Aku juga pernah dimaklumkan , dari segi undang-undang jika pegawai polis atau JPJ membuat sekatan tanpa memakai kon sekatan atau diluar kawasan OPS maka saman tersebut masih boleh dipertikai. Betul ke?

Aku tinggalkan pegawal JPJ yang terlibat dengan doa tidak sengaja dalam hati:
"Semoga Allah membalas kezaliman yang dikenakan kepada brother tersebut dengan kerugian yang setimpal (kepada pegawai yang terlibat) pada bulan ini." 
Para ulama dan ustaz yang aku mengaji ada berkatakan hal ini , Contoh aku boleh bagi ; Allah akan hilangkan duit gaji pegawai yang terlibat RM600 dengan pelbagai cara sebagai mendengar doa orang yang terzalim.

Wallahwalam.

PS:

1.Harap jangan ada salah ertikan posting aku ini sebagai membela pesalah jalan raya dan memburukkan atau tidak faham tugas JPJ.

2.jika ada yang bertanya jika dibiarkan brother tu mungkin dia juga akan buat U-turn untuk larikan diri. aku katakan wallahwallam dan jika dia buat, kesalahan adalah pada pihaknya.

3.apa yang aku nampak cara saman yang menyusahkan, harga saman agak mahal, kena ke mahkamah untuk 'mengaku kena saman kemudian tawar menawar' dan krenah birokrasi payah bayar saman bukanlah cara hidup yang sihat, hikmah dan mendidik untuk rakyat. Jika masalah saman ini tidak dipermudah dan menzalimi (contoh lain kes saman ekor), kadar jenayah jalan raya pasti tidak kurang, bahkan makin meningkat. wallahwalam

4.pihak JPJ , pegawai bertugas dan sesiapa yang kerja sewaktu denganya, fikirlah juga cara untuk mendidik, memahami pesalah dan memudahkan urusan, bukan menghukum sahaja. wallahwallam.

5.harap tidak ada pegawai JPJ yang melenting bila terbaca catatan suka hati aku ini....^_^,

No comments:

Post a Comment