Sunday, March 15, 2009

Bercinta Sampai ke Syurga

Di sini ku berjanji disaksi rembulan
Andainya ku pergi dulu
Jikalau ku pergi dulu
Ku nantimu di pintu syurga

Pasangan yang bercinta, mereka mencari syurga. Mencari bahagia dan kepuasan santapan jiwa. Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi. Itulah kuasa cinta. Pengorbanan yang ditawarkan demi sebuah cinta, yang menjanjikan bahagia.

Tiada insan yang sengaja mencari derita. Seperti ikan mencari air, si dahaga mendamba seteguk minum, mata mengantuk mencari bantal, demikianlah setiap insan mengerumuni cinta. Demi sesuatu yang menjanjikan bahagia.

Namun dalam asyiknya manusia bercinta, di kala itu jualah manusia semakin derita. Rumahtangga musnah, hidup berantakan. Tatkala inai masih di jari, anak belum pun sempat berdiri, tiang rumah dan tangga cinta roboh dirempuh badai.

Luar biasa…

Mereka bukan dipaksa menerima. Kahwin itu bukan kahwin dera atau kahwin paksa. Ia adalah cinta sama cinta, suka sama suka. Jika kedua belah pihak sudah saling menerima dan kenal isi kulit pasangan sehati sejiwa, di manakah cacat di manakah celanya hingga hujan tidak sempat menunggu petang?

Bukankah syurga dunia yang dibina itu mahu dilangsungkan hingga ke Syurga Sana?


Pada hari itu teman-teman akrab setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang perhubungannya berdasarkan Taqwa [al-Dzukhruf 43: 67]

Itulah realitinya.

Bahawa biar sehangat mana pun cinta yang membakar perhubungan dua insan yang berkasih sayang, mereka akan menjadi musuh di antara satu sama lain di padang Mahsyar. Jika dahulunya mereka menolak pertolongan yang ditawarkan demi kebahagiaan sebenar, hari itu mereka pula saling bermusuh dengan permusuhan yang tidak lagi mampu ditolong.

Mengapa cinta menjadi permusuhan?

Apakah yang menguji manusia di Mahsyar hingga pasangan yang akrab menjadi musuh yang saling mementingkan diri?

Sesungguhnya Mahsyar itu mengheret manusia kepada sebuah TEKANAN. Itulah ujian terbesarnya. Segala yang didustakan selama ini terbentang di depan mata. Barulah kelihatan kesan segala perbuatan. Bahawa dunia memang sementara, namun kesan amal berkekalan selamanya. Dan hari Mahsyar itu setiap insan berada di bawah TEKANAN yang maha dahsyat.

Ibu sanggup menggadaikan anak demi untuk menyelamatkan diri.

Dua kekasih sanggup mengorbankan pasangannya demi terbebas dari seksaan yang sedang menanti.

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan, cinta berubah menjadi permusuhan. Dua kekasih saling menyerang pasangan masing-masing, mementingkan diri, demi sebuah keselamatan.

Kecuali manusia bertaqwa.

Wahai pasangan yang bermadu kasih, ingatkah kalian pada khutbah yang mengiringi lafaz AKU TERIMA NIKAHNYA suatu hari dahulu? Tiga ayat yang dibacakan kepadamu, segalanya berbicara tentang TAQWA.

khutbahnikah

Pesan itu adalah pesan Tuhanmu. Pesan yang disampaikan di lisan Nabimu. Pesan yang diperpanjangkan kepada khutbah nikahmu. Bahawa tiada bahagia tanpa taqwa. Hanya derita pemusnah cinta, manusia tersungkur di pantai derita, meneguk neraka dunia sebelum Neraka di Sana.

Neraka dunia yang menghancurkan bahagia datang bersama tekanan. Ujian yang amat menghimpit beban. Soal anak, soal pekerjaan, soal keinginan, soal ketidakpuasan, soal kemahuan, soal kesangsian. Rumahtangga yang belayar di tasik madu, menjelang senja dihiris sembilu.

“Lepaskan saya. Saya sudah tidak sanggup lagi,” bentak isteri yang terbeban oleh tekanan perasaan.

“Sabarlah isteriku. Mari duduk mencari petunjuk,” pujuk suami dengan linangan air mata.

Anak-anak menggeletar terperosok di sudut gementar. Melihat ayah dan ibu bergaduh cakar mencakar.

“Bukankah kami hadir kerana cintamu?” bisik si anak kepada hatinya, merayu kepada Tuhan agar mendamaikan sepasang insan tempat dirinya berpaut hidup.

“Sudah-sudah. Tidak perlu dibincang-bincangkan lagi. Lepaskan saya. Hantarkan saya balik ke rumah emak di kampung!” si isteri terus mengamuk.

“Bagaimana dengan anak-anak kita?” suami merenung wajah anak-anak yang kebingungan. Terasa hangat pipi dihujani hiba.

“Semuanya salah abang. Sudah berapa kali saya beri peluang. Abang masih tidak berubah. Abang bekerja untuk keluarga, hingga hancur keluarga. Kalau selama ini kami bahagia tanpa abang, kenapa perlu lagi saya menderita menanti abang. Saya ada cita-cita sendiri!” si isteri mengesat wajahnya dengan lengan. Kata-katanya penuh simpang siur perasaan. Tidak pasti apa yang dimahukan.

Kecuali sebuah penceraian…

SUATU HARI NANTI

Suatu hari nanti
Kau akan tahu sucinya cintaku
Kau akan menyesal
Dan kau sebut namaku selalu

Suatu masa nanti
Kan terhurai segala rahsia
Bahawa cintaku kepadamu
Abadi selamanya

Kau akan menangis
Menatap gambarku
Gambar-gambar kita
Pasangan yang istimewa

Oleh itu kasih
Janganlah terburu
Jangan ikut rasa
Kelak jiwa kan merana

Perkara yang kecil
Jangan suka dibesar-besarkan
Perkara yang samar
Jangan pula dibenar-benarkan

Usahlah dibunuh
Kecintaan ini
Biarkan bersemi
Sampai kekal dan abadi

Lagu dan Lirik: Suhaimi Mior Hassan

Tekanan bukan sahaja menjadikan seorang kekasih memusuhi kekasihnya di Akhirat, bahkan tekanan itu juga menghilangkan cinta tatkala menempuh kehidupan dunia. Hingga tidak sempat-sempat menuju penceraian, semata-mata ingin lari daripada sebuah tekanan.

Itulah yang banyak berlaku hari ini.

Pelik sekali, setelah ghairah bercinta kita melangkah ke alam rumahtangga. Belum sempat anak membesar bergegas pula menuju penceraian. Dan janggal sekali, selepas bercerai barulah timbulnya damai. Boleh keluar makan bersama, boleh bergilir melayan anak-anak. Suami isteri payah serasi, biar sekadar teman yang mesra. Semuanya kerana gagalnya manusia, menguruskan tekanan, realiti kehidupan.

Justeru wahai insan yang mabuk cinta, siasatlah benang yang menyulam kasihmu. Apakah ia sebuah taqwa, atau cinta buta yang tidak berpijak di bumi nyata? Sesungguhnya cinta yang tidak bersendikan taqwa adalah cinta yang berakhir dengan permusuhan. Jika tidak di neraka dunia, pastinya Neraka abadi di alam Sana.

“… kecuali orang-orang yang bertaqwa” [al-Dzukhruf 43: 67]


“(Mereka diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu, dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan” [al-Dzukhruf 43: 68-70]

Tidak mungkin Syurga di Akhirat menjadi habuan kita, andai dunia bersalut neraka. Dunia ladang Akhirat, apa yang disemai pada hidup yang sementara ini, itulah tuaian di Akhirat yang kekal abadi.

Berjuanglah berbekalkan taqwa untuk mengharungi epilog sebuah cinta, hingga terkecap syurga dunia.

Berjuanglah sampai mengecap bahagia perjuangan, rumahku syurgaku, baiti jannati…

Kejayaan bukan sebuah destinasi, ia adalah sebuah perjalanan.

Bercintalah sampai ke Syurga, wahai dua insan bercinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang

1 comment:

  1. Salam,

    Bagaimanakah sifat pemuda-pemudi dibawah asuhan Rasulullah SAW itu? Adakah mereka itu:

    1. Menjadi sangat risau dengan satu jerawat kecil yang tumbuh dimukanya?
    2. Resah gelisah kerana putus cinta?
    3. Memberi tumpuan berjam-jam untuk memilih baju dan make up yang dapat menambat hati kekasihnya?

    Atau hati dan pemikirannya diisi dengan sesuatu yang lain, yang lebih besar dan lebih tinggi? Beriman, beramal soleh, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, berjihad dan bersabar sehingga shahid. Pulang kepada kaumnya sebagai pahlawan atau shahid dan diangkat untuk berehat di syurga.

    Segala-galanya bermula dengan cinta kepada Allah. Dan, semua cinta itu bermula dengan berkenalan. “Tak kenal, maka tak cinta.”

    Allah mengutuskan pesuruhNya untuk mendidik pemuda-pemudi ini dengan mengenal Allah, sehingga selepas beberapa waktu, perkenalan itu melahirkan hormat, terpesona dan cinta yang membahagiakan. Sehingga setiap dari mereka memahami dan menghayati bahawa Allah dan Rasul adalah lebih layak untuk mereka cintai daripada diri mereka sendiri. Semua cinta yang lain berdiri diatas cinta yang besar ini. Kita mencintai seseorang kerana Dia juga mencintai Allah, dia taat kepada Allah, dia menjauhi larangan Allah, dia melaksanakan deen kedalam kehidupannya. Dia mengikuti Rasulullah SAW.

    Oleh itu, cinta pertama seorang mukmin ialah cinta kepada Allah. Cinta yang lain datang kerana dia sesuai dengan kehendak Allah. Janganlah pula kita bercinta dengan seorang manusia tanpa ada hubungannya dengan Allah. Bercintalah dalam rangka beribadah kepadaNya. Syurga itu mudah untuk diberikan oleh Allah kepada seseorang yang dicintainya atau diredhai olehNya.

    Diatas jalan dakwah, seseorang bernikah dengan niat yang murni dengan seorang teman lagi. Selepas lama waktu berlalu, perkahwinan mereka bermasalah...kenapa?

    Check adakah tarbiyah masih berjalan? Dahulunya perkahwinan itu didirikan diatas tiang-tiang tarbiyah. Jika tiang-tiang ini telah tiada, maka perkahwinan itu mudah runtuh. Tunggu masa sahaja...Aku yakin tiada jalan yang terbaik untuk saudara...

    Berdoa bersungguh2 kepada Allah, dan fikirkanlah, buatlah daya upaya agar ayah dan ibu kembali menghadiri program-program tarbiah. Biarlah hati mereka kembali mengingati Allah, meneladani Rasulullah SAW. Itulah satu-satunya ubat kepada mereka. Tanpa tarbiyah, perkahwinan itu rapuh. Apabila kita futur/kendur/kurang dari tarbiyah, syaitan mula masuk dicelah-celahnya, lalu menimbulkan permusuhan sesama kita.

    Wallahu'lam.//snamal02@hotmail.com/Abu Aishah.

    ReplyDelete